SI TANGGANG

SIPNOSIS :
Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga miskin yang tinggal di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai).


Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.


Apabila masuk alam remaja, suatu hari Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Mulanya nakhoda kapal sangsi atas kebolehan Si Tanggang akan tetapi Beliau bersetuju setelah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan tika menuju ke kapal Beliau tadi.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Tetapi ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain.


Apapun, anak muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil "Nakhoda Tanggang".






Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi sangat terkenal hingga sampai ke telinga Sultan lalu dijemput ke istana. Tidak lama selepas itu Si Tanggang berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri raja.


Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.
Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan.


Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka.
Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi. Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa..

"""kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu.
"


Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat.
Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.
-------------------------------------------------------------------------------------------------


Batu Tanggang di Bukit Tinggi, Indonesia


INFO LANJUT:-
  • Si Tanggang (atau dieja "Si Tenggang") ialah sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhakai ibunya,dan akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu dengan makbul Tuhan.
  • Cerita Lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.
  • Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya berbeza iaitu "Malim Kundang". Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera, hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal, manusia dan sebagainya.
  • Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih tepat lagi di Bukit Treh? satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu?
1. Belakang kapal yang telah bertukar jadi batu.
2. Tali-tali kapal jelas kelihatan.
3. Tempayan kapal.
4. Sepertinya depan kapal bertukar jadi batu.
  • Ia digunakan dalam buku teks sekitar 1960-an berdasarkan karya Abdul Samad Ahmad 1955. Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama.
  • Dongeng Si Tanggang disampaikan secara lisan. Oleh itu, ia mempunyai banyak versi yang berbeza mengikut tempat di Nusantara.Dalam versi asal yang disampaikan oleh orang Minangkabau, Si Tanggang dikenali dengan nama Malin Kundang.
  • Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang.Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat.Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat,mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.


  • Dalam versi Brunei, Si Tanggang dikenali dengan nama Nakhoda Manis dan ibunya bernama Dang Ambon, manakala bapanya sudah meninggal dunia ketika dia masih kecil.Mereka tinggal berdekatan dengan Sungai Brunei.Nakhoda Manis merantau di sebuah pekan yang bernama Sulok.Adalah diperkatakan bahawa batu yang ditukarkan daripada seluruh kapal Nakhoda Manis berserta isinya adalah Jong Batu di Sungai Brunei.

Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular dalam kalangan orang Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun.Kanak-kanak akan didedahkan dengan cerita ini. Ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu: "JANGAN DERHAKA KEPADA ORANG TUA". 

Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati kedudukan ibu bapa.Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...