Thursday, November 4, 2010

betul Siti...sumpah! memang SMS itu kau yang hantar..

Siti terdiam kaku memandang dinding kayu yang usang tidak bersusun rata. Fikirannya menerawang jauh cuba menembusi setiap garis-garis kata yang baru disampaikan oleh sahabat baiknya tadi. Dia tidak percaya apa yang baru didengari sebentar tadi.

“Betul Siti… Sumpah! Memang SMS itu kau yang hantar.” Bermati-matian teman baiknya menegakkan kebenaran.

“Aku tidurlah Salwa. Laki aku pun tidur di sebelah. Mana ada aku main-main SMS dengan kau malam-malam buta tu. Tak kuasa aku, baik aku layan tidur dari layan kau.” selorohnya serius.


Suasana bertukar sepi. Siti memandang wajah Salwa lama. Salwa cuba memecah keheningan pagi dengan lawak selambanya. Tiada respons dari wajah Siti. Dia masih belum berpuas hati selagi belum mengetahui apakah yang dialaminya malam tadi.


Boleh aku tengok SMS yang aku hantar dekat kau semalam?” pintanya penuh makna.

“Ada sesetengahnya dah aku ‘delete’. Panjang berjela Siti, siap kau merintih-rintih lagi,” balas Salwa bersungguh-sungguh.

“Cuba kau dengar ini SMS pertama yang kau hantar -

Aku akan melalui satu perjalanan yang panjang. Usahlah ditangisi aku yang telah pergi. Maafkan aku wahai SAHABAT.

Aku pun tak pasti kenapa kau taip perkataan sahabat tu semua huruf besar. Bila aku balas, kau sambung lagi dengan SMS kedua -

Tubuhku kini bersatu dengan alam. Mungkin kita tidak akan bersua lagi selepas ini. Jagalah dirimu baik-baik,” beritahu Salwa lagi.

Lama Siti termenung memikirkan apakah yang berlaku kepada dirinya malam tadi. Seingat dia, malam itu tubuhnya benar-benar letih akibat seharian terpaksa berkejar-kejaran dari satu tempat ke satu tempat. Cuma pagi itu dia telah melalui satu kawasan perkuburan lama yang tidak terpelihara lagi. Keretanya meluncur laju melepasi kawasan itu ketika dia mahu berkunjung ke rumah salah seorang pelanggan yang akan membeli produk kecantikan yang dijualnya.

Ketika melewati kawasan itu, perasaannya jadi semacam. Dia perasan ada kilasan cahaya yang melintasi kereta yang sedang dipandunya itu. Sengaja dia tidak mahu memikirkan peristiwa yang dialaminya itu. Siti mengingati kejadian malam sebelumnya, sebaik pulang dia menyediakan juadah untuk suaminya seperti selalu. Seboleh-bolehnya selepas makan malam dia mahu terus melelapkan mata.

Malam itu dia terbaring terus di sebelah suami. Telefon bimbit diletakkan dekat dengan meja kecil di sudut katil. Dia tidak sedar apa yang berlaku selepas terbaring di atas katil. Yang dia tahu keesokan paginya, Salwa memaklumkan yang dirinya telah memberikan mesej yang pelik-pelik kepada teman baiknya itu. Setiap bait kata yang diatur bagaikan seseorang yang telah dan akan pergi ke alam lain. Oleh sebab, waktu berbalas mesej itu telah memasuki jam 1.00 pagi, Salwa hanya sempat membalas dalam tiga keempat mesej sahaja. Selebihnya Siti menulisnya panjang lebar bagaikan tidak mahu berhenti dan bagaikan dia mahu memaklumkan sesuatu tentang keadaan dirinya.

Siti benar-benar ingin tahu apa yang dialamnya malam itu. Dia mengajak Salwa bertemu dengan seorang ustaz yang selama ini banyak membantu dirinya menyelesaikan masalah alam ghaib yang sering terjadi dalam dirinya.

“Ustaz kenapa kawan saya beritahu saya bermain mesej dengan dia. Walhal saya tidur lena malam itu? Boleh ustaz tolong tengokkan apa yang menganggu saya?” ajunya ingin merungkai kemusykilan.

Menurut ustaz itu tubuh Siti telah diresapi oleh roh orang yang tidak tenteram setelah meninggal dunia. Roh itu tidak berniat apa-apa, cuma kebetulan Siti telah melalui kawasan laluannya dan Siti menjadi pilihannya.

Sebaik sahaja dimaklumkan demikian, Siti tidak berani untuk pulang ke rumah. Walaupun ustaz itu telah memberitahu roh yang bersatu dengannya telah tiada, perasaan gerunnya masih belum dapat dibuang jauh. Kebetulan malam itu suaminya tiada di rumah kerana perlu bekerja di luar daerah selama seminggu.

Siti bermalam di rumah Salwa. Kedua-duanya berbual rancak sehingga tidak sedar jam dinding telah berbunyi 12 kali. Mata Siti semakin mengantuk, begitu juga dengan Salwa. Kepenatan siang tadi masih belum hilang, tanpa dipaksa-paksa kedua-duanya tertidur di atas sofa panjang yang terletak di ruang tamu.

Pagi itu tepat jam 2.00 pagi, mata Salwa terbuka kecil memandang tepat ke arah meja sisi yang terdapat di sudut ruang tamu kediamannya. Bunyi nada SMS mengejutkan dirinya. Dalam mamai dia membaca mesej yang diterima. Sebaik membaca, jantungnya terus berdegup kencang. Pesanan ringkas yang masuk itu dari telefon bimbit Siti. Peluhnya mengalir laju, tubuhnya mengigil ketakutan. Mana mungkin Siti yang menghantar mesej itu sedangkan sahabatnya sedang lena tidur di ruang tamu rumahnya???????



sumber http://dakjaat.com

2 comments:

  1. Seramnya aku baca...dah la baca masa tengah2 mlm buta mcm ni..eee..meremang bulu tengkuk ni..

    ReplyDelete

Vaccine covid-19 berjaya dihasilkan

  Rusia dakwa berjaya hasilkan vaksin Covid-19 Moscow: Rusia mendakwa menjadi negara pertama berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 dan menama...