Kisah Seorang Sosilawati

KISAH hidup wanita yang boleh dianggap antara paling berjaya dalam bidang industri kecantikan di negara ini Datuk Sosilawati Lawiya sememangnya penuh ranjau dan duri.

Sosilawati yang pernah mengalami pelbagai peristiwa jatuh bangun dalam hidup kini dikejutkan pula dengan kisah kehilangan beliau sejak ahli keluarganya melaporkan kehilangannya sejak 30 Ogos lalu.

Kini setelah Hari Raya Aidilfitri masuk hari ketiga keluarganya masih belum menerima berita mengenai pemilik syarikat kosmetik terkenal, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu.

Sosilawati, 47, tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor bersama tiga lagi yang lain untuk menemui seorang peguam bagi menyelesaikan urusan pembelian tanah di Pulau Pinang.

Penulis yang pernah mewawancara beliau pada tahun lepas turut berasa kagum dengan kegigihan beliau mencorakkan kehidupan sebelum berjaya memartabatkan diri dalam kehidupannya sekarang.

Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka. Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan pastinya akan terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.

Begitulah pengalaman hidup yang diharungi oleh Sosilawati dalam mengharungi liku-liku kehidupann yang sememangnya sangat mengharukan.

Akibat kegagalan perkahwinan pertamanya telah benar-benar mengajar beliau erti sebuah kehidupan.

Satu ketika dahulu wanita ini pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil mengendong bayinya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menyara enam anaknya yang masih kecil selepas suami yang dahulu menjadi tempat bergantung menceraikannya.

Biarpun tidak pernah keluar bekerja sepanjang bergelar isteri pada perkahwinan pertama, Sosilawati tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk mengharap belas ehsan daripada orang lain bagi meneruskan kehidupan.

Menurut wanita kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini, penceraian pada usia awal 30-an telah menjadikannya lebih berani untuk menongkah liku-liku kehidupan.

Yakin bahawa tiada yang mustahil dan kesanggupan untuk belajar serta bekerja keras, beliau sanggup berkorban demi membesarkan anak-anak.

"Saya akui, perceraian pertama memang perit apatah lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.

Sosilawati percaya bahawa jodoh dan pertemuan itu urusan Tuhan malah tidak keterlaluan jika dikatakan perceraian tersebut menjadi pencetus kepada kejayaannya sekarang.

Bagi beliau peristiwa itu mengajarnya untuk berdikari dan mula bercampur dengan rakan-rakan yang terlibat dalam perniagaan kosmetik dan kecantikan dan mendapati ia merupakan sebuah perniagaan yang bagus.

Berkat kesabaran dan menganggap kegagalan sebagai pengajaran Sosilawati gigih mengusahakan rangkaian produk kecantikan Nouvella Visage (NV) malah sudah bergelar jutawan kosmetik pada usia 40-an.

Mengakui tidak mempunyai pendidikan yang tinggi hanya sekadar SPM sahaja namun beliau sanggup bermula dari bawah.

"Pada asalnya saya hanya menjual produk kosmetik orang lain kemudian saya menubuhkan butik kecantikan.

"Saya buat sendiri semua urusan dari memberi facial hinggalah menarik pelanggan. Namun berkat dari usaha bersungguh-sungguh dan tidak mengenal erti putus asa, hasilnya saya nikmati sekarang," katanya.



  
Kejayaan

             Beliau kemudiannya berjaya mengusahakan produk sendiri, NV sebelum mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia. Kejayaan beliau menghasilkan sebuah produk yang murah tetapi berkualiti merupakan penanda aras kepada kejayaannya sekarang.

Pada peringkat awal sememangnya ia memerlukan usaha yang gigih apatah lagi stigma masyarakat lebih mempercayai produk kecantikan dari Barat.

Namun Sosilawati berjaya membuktikan bahawa produk ini berkesan, dan sesuai digunakan masyarakat negara ini. Prinsip dan falsafah yang dipegangnya sehingga sekarang iaitu kerja keras dan percaya pada kemampuan diri sendiri merupakan tonggak kepada kejayaannya sekarang.

Namun katanya paling penting ialah jangan sekali-kali menipu orang lain kerana perkara paling penting ialah keberkatan.

Atas kesungguhannya juga, dia terpilih untuk menerima Anugerah Khas Tokoh Wanita dan Anugerah Wanita Nadi Negara daripada Kerajaan Negeri Johor pada tahun 2007.

Berkenaan soal impian, wanita ini sememangnya mempunyai perancangan dan visi yang jauh kehadapan.

"Saya telah menyimpan cita-cita untuk menubuhkan sebuah kolej kecantikan yang lengkap dengan semua kemudahan untuk kecantikan. Insya allah dalam tempoh terdekat ini ia akan menjadi kenyataan," kata Sosilawati kepada penulis.

Namun lumrah hidup juga membuktikan adakalanya tidak semua yang diidamkan senantiasa menyebelahi kita.

Kisah perkahwinan keduanya dengan rocker terkenal tanah air, Nashrudin Elyas atau lebih dikenali sebagai Nash yang meniti setiap akhbar dan majalah tidak mampu bertahan lama.

Hanya selepas 10 bulan mereka memadu kasih, perceraian terpaksa dipilih sebagai penyelesaian malah ia berlarutan di mahkamah selepas Sosilawati membuat laporan polis mendakwa Nash, mengeluarkan wang tunai miliknya tanpa persetujuan.

Sekali lagi Sosilawati mengejutkan rakyat Malaysia apabila didakwa ditangkap khalwat pada malam tahun baru lalu.

Beliau kemudiannya membuat dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan di luar negara dengan pasangannya seorang duda anak tiga yang dipercayai berasal dari Indonesia.

Sejak peristiwa itu berita mengenai Sosilawati sudah mula kurang kedengaran baik di dada akhbar mahupun di dunia maya.

Namun ini tidak bermakna beliau mendiamkan diri tetapi sebaliknya lebih aktif mengibarkan empayar perniagaannya terutama dalam bidang hartanah.

Malah dikatakan beliau memiliki harta dan wang tunai mencecah RM100 juta.

Atas alasan itu beliau bersama pemandu, peguam peribadi serta seorang pegawai sebuah bank telah pergi ke Banting pada 30 Ogos lalu.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...